SURAT THANI – Seorang lelaki berusia 35 tahun maut selepas bom tangan yang dilemparkannya meletup di hadapan rumah bekas teman wanitanya dalam kejadian tragis di daerah Tha Chana, selatan Thailand.
Kejadian berlaku sekitar jam 8 pagi apabila mangsa, Surapong Thongnak, dikatakan berang selepas usaha memujuk bekas kekasihnya untuk kembali bersama gagal. Menurut laporan media tempatan, sebelum insiden letupan, Surapong cuba menyerang wanita berkenaan menggunakan gunting namun tindakan itu berjaya digagalkan oleh penduduk sekitar.
Tidak berputus asa, Surapong kemudian kembali ke keretanya, mengambil sebutir bom tangan jenis M26, dan melontarkannya ke arah kumpulan yang berada berhampiran. Namun, bom tersebut tidak meletup serta-merta. Surapong yang cuba mengambil semula bom itu akhirnya maut apabila bom berkenaan meletup di tangannya.
Mayatnya ditemui dalam keadaan tertiarap berlumuran darah di hadapan rumah berkenaan. Letupan itu turut memecahkan cermin sebuah kereta yang diparkir berhampiran.
Empat orang lain — dua lelaki dan dua wanita yang merupakan ahli keluarga wanita tersebut — cedera dan telah dihantar ke Hospital Tha Chana untuk rawatan. Mereka berusia antara 40 hingga 73 tahun, menurut laporan Thaiger.
Bekas teman wanitanya dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan kerana sempat melarikan diri masuk ke dalam rumah sebelum letupan berlaku.
Hasil siasatan lanjut polis turut menemui 500 gram dadah jenis methamphetamine (Ice) dalam botol di dalam kereta milik Surapong. Lelaki itu juga pernah dipenjara lima bulan pada tahun 2020 atas kesalahan berkaitan dadah.
Polis sedang menyiasat motif keseluruhan kejadian dan tidak menolak kemungkinan ia berkait dengan masalah dadah dan gangguan emosi.
Sumber: Mothership

