KOTA KINABALU, 26 Mei – Parti Bersatu Sabah (PBS) menegaskan bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu berada di barisan hadapan dan menjadi peneraju utama dalam sebarang bentuk kerjasama menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang.
Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata, walaupun pihaknya terbuka kepada kerjasama dengan mana-mana parti, kedudukan GRS sebagai pemimpin gabungan tidak boleh dikompromi.
“Selagi GRS ada majoriti mutlak, kita alu-alukan kerjasama dengan parti lain. Tapi yang penting, GRS mesti duduk di tempat pemandu,” katanya kepada media selepas sidang akhbar berkenaan sambutan Hari Jadi Rasmi Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah di Kompleks Komunikasi Bersepadu, Kepayan.
Mengulas kenyataan Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang menyasarkan sekurang-kurangnya 13 kerusi di PRN Sabah, Joachim menyatakan pendirian bahawa tiada halangan untuk mana-mana parti meletakkan calon kerana Malaysia adalah negara demokrasi.
Beliau turut mengulas kenyataan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Azmin Ali mengenai perancangan Bersatu untuk bertanding di beberapa kerusi, dengan berkata bahawa setakat ini tiada sebarang rundingan rasmi antara GRS dengan Bersatu atau Perikatan Nasional (PN) berkenaan kerjasama pilihan raya.
“Kalau boleh, kita mahu menang tanpa bertanding… tapi itu susah,” katanya secara berseloroh.
Joachim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, menambah bahawa PBS sedang menuntut beberapa kerusi dalam agihan dalaman GRS, namun perbincangan lanjut masih berjalan.
Mengulas kenyataan Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Masiung Banah bahawa GRS menyasarkan sekurang-kurangnya 52 kerusi DUN, Joachim enggan mengulas bilangan kerusi yang ingin ditandingi PBS.
“GRS ini termasuk PBS dan STAR. Jadi kita semua bersama. Apa yang lebih penting sekarang ialah kita tentukan kerusi mana GRS boleh menang. Fokus utama mesti GRS menang, bukan parti masing-masing,” tegasnya.
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kini merangkumi parti-parti tempatan seperti Gagasan Rakyat, PBS, STAR, SAPP, PCS, PHRS, LDP, dan USNO.

