KOTA KINABALU – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan pendirian Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk terus mempertahankan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17) akan datang.
Menurut beliau, asas pembentukan kerajaan negeri hari ini adalah hasil kerjasama kukuh GRS dan PH — dan kerjasama ini harus dikekalkan.
“Kita mahu kerjasama GRS dan PH yang ada sekarang ini kita pertahankan. Itu asas kita, dan saya sendiri sudah sampaikan perkara ini kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran jeti dan perkhidmatan feri semula laluan Kota Kinabalu-Labuan, Selasa.
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Hajiji, yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat, menjelaskan bahawa setakat ini belum ada sebarang rundingan lanjut mengenai kerjasama PRN17 kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah masih belum dibubarkan.
“Belum bubar, belum PRN… jadi sabar dulu, bila sampai masanya kita akan maklum,” ujarnya.
Tegas Hajiji lagi, GRS bersedia bertanding secara solo jika perlu, berpegang teguh pada prinsip bahawa kerajaan Sabah mesti dipimpin oleh parti tempatan sebagai teras utama pentadbiran.
Walaupun Perdana Menteri sebelum ini menyuarakan harapan agar GRS turut bersama dalam kerjasama BN-PH, Hajiji tetap berpegang pada pendirian asal bahawa GRS dan PH di Sabah mempunyai asas kukuh tersendiri yang perlu dikekalkan demi kestabilan negeri.

