KOTA KINABALU: “Kita bukan bersifat eksklusif, kita bersifat inklusif. Kita perlu mengenal pasti dan menghargai kawan-kawan kita yang bukan berada di Sabah. Itu sangat penting,” tegas Setiausaha Eksekutif Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Mohamed Razali Mohamed Razi.
Mengulas mengenai spekulasi bahawa GRS hanya akan memilih Pakatan Harapan (PH) sebagai rakan kerjasama politik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17), beliau berkata, belum ada keputusan muktamad berhubung kerjasama tersebut.
Bagaimanapun Razali yang juga Setiausaha Agung Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), menekankan bahawa dalam dunia politik, segala kemungkinan boleh berlaku kerana sifat politik itu sendiri yang sangat dinamik.
“Kalau kita guna istilah spekulasi, dalam politik semuanya mungkin. Buat masa ini, kita belum membuat apa-apa keputusan,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan Program Jelajah Darau D’ Hati dan Majlis Penyerahan Watikah JKKK bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau anjuran Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat UPPM Darau di sini pada Ahad.
Menurut beliau, keutamaan utama GRS ketika ini adalah memastikan kepentingan dan kesejahteraan rakyat Sabah sentiasa menjadi asas kepada setiap pertimbangan politik.
“Apa yang kita lihat adalah kepentingan rakyat Sabah. Matlamat utama kita adalah apa yang terbaik untuk rakyat Sabah, itu saja,” katanya.
Mengulas mengenai program, Razali berkata, jelajah itu akan digerakkan dari kampung ke kampung di kawasan DUN Darau dengan membawa khidmat kepada masyarakat menerusi penglibatan agensi-agensi kerajaan yang diperlukan seperti kebajikan dan jualan rahmah oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) Negeri Sabah
“Kalau kita lihat, ini adalah program yang pertama dan Alhamdulillah dia mendapat sambutan kerana yang penting sekali ada dua agensi di sini. Kebajikan dan KPDN, benda yang paling asas yang diperlukan oleh orang-orang kampung.
“Selain daripada jualan rahmah kita juga adakan sedikit pertandingan lah. Kita melibatkan belia dengan pertandingan Mobile Legends.
“Kerana kita lihat bahawa kita kena bawa belia ini untuk melihat keadaan realiti, bila mereka berada di sini bersantai sekurang-kurangnya mereka mendapat tahu apa yang berlaku di kampung,” katanya.
Dianggarkan seramai 500 pengunjung telah hadir ke program tersebut bagi mendapatkan khidmat-khidmat yang diperlukan.

