Site icon TUHAU BAMBANGAN

Kerap tukar kerajaan jejas kemajuan pembangunan & merugikan rakyat

Razali (dua dari kiri) menyampaikan Watikah kepada salah satu JKKK di sini pada Ahad.

KOTA KINABALU: Kekerapan menukar kerajaan akan menjejaskan kemajuan pembangunan yang telah dirancang dan seterusnya merugikan rakyat secara keseluruhannya, kata Setiausaha Eksekutif Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Mohamed Razali Mohamed Razi.

Ini kerana katanya, setiap kali pentadbiran kerajaan bertukar, dasar baharu akan diperkenalkan hingga menyebabkan dasar dan program-program pembangunan sedia ada tidak dapat diteruskan dengan konsisten.

Justeru itu, Razali yang juga Setiausaha Agung Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menyeru rakyat agar mengekalkan kepimpinan sedia, iaitu kepimpinan kerajaan GRS PH Plus pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17) demi kestabilan politik seterusnya dapat memastikan dasar dan perancangan pembangunan negeri dapat diteruskan tanpa gangguan.

“Apa yang kita perlukan ialah kestabilan. Kalau kita asyik tukar kerajaan, maka dasar-dasar akan berubah, pelaksanaan akan terganggu dan yang paling terkesan nanti ialah rakyat.

“Pentadbiran GRS PH Plus ketika ini mempunyai hala tuju yang jelas. Semua perancangan bukan sekadar kata-kata, semuanya ada dalam dokumen rasmi. Kita tahu ke mana hala tuju kita dan sebab itu penting untuk mengekalkan kerajaan GRS demi kesinambungan.

“Continuity is very important,” ujar beliau yang menekankan satu mesej jelas bahawa hanya dengan kestabilan, pembangunan Sabah dapat dicapai secara mampan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Program Jelajah Darau D’ Hati dan Majlis Penyerahan Watikah JKKK bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau anjuran Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat UPPM Darau di sini pada Ahad.

Turut hadir pada program itu ialah, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Darau, Abqaree Fawwaz Abekan.

Mengulas mengenai isu-isu yang sering dibangkitkan di kawasan Sepanggar, Razali yang juga Ketua Gagasan Rakyat Darau mengakui wujudnya cabaran dan masalah yang nyata di kawasan tersebut.

“Kita tidak nafikan, masalah memang wujud. Namun, kerajaan telah dan sedang mengambil tindakan. Banyak inisiatif telah dilaksanakan, cuma penyelesaiannya bukan boleh berlaku dalam masa beberapa bulan,” jelasnya.

Menurut beliau, pelbagai perancangan telah dirangka termasuk pelan jangka pendek dan panjang bagi menangani isu-isu setempat secara menyeluruh dan berkesan.

Exit mobile version