Site icon TUHAU BAMBANGAN

Lelaki tendang perut & tumbuk kepala bekas isteri ditahan di Tawau

TAWAU: Seorang lelaki berusia 37 tahun ditahan polis selepas disyaki mencederakan bekas isterinya dalam satu kejadian di Balung, baru-baru ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin, kejadian berlaku sekitar jam 8.00 malam apabila suspek datang ke rumah mangsa dan berlaku pertengkaran antara mereka.

“Mangsa meminta suspek beredar memandangkan mereka sudah tidak mempunyai hubungan suami isteri, namun suspek bertindak ganas dengan menendang perut dan menumbuk kepala mangsa hingga menyebabkan kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Hasil tindakan pantas Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dan maklumat orang awam, suspek berjaya ditahan dan kini berada dalam tahanan untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan 326A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara, denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Polis menyeru orang ramai supaya tampil membuat laporan jika mengetahui sebarang kejadian keganasan rumah tangga bagi membendung jenayah tersebut daripada terus berleluasa.

Exit mobile version