Site icon TUHAU BAMBANGAN

4 lelaki warga asing ditahan bersama syabu, rangkaian sindiket dadah giat dikesan di Lahad Datu

LAHAD DATU: Polis daerah ini kini sedang giat mengesan rangkaian sindiket pengedaran dan penyalahgunaan dadah dengan memulakan penahanan terhadap empat warga asing asal Indonesia dan Filipina serta merampas dadah jenis syabu menerusi Op Tapis dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau berkata, dalam serbuan pertama, seorang lelaki warga Indonesia berusia 50 tahun diberkas di Kampung Sri Aman, Silam, selepas polis menemukan 0.30 gram syabu di dalam poket seluar suspek.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

“Sementara itu, dalam serbuan kedua di sebuah rumah di Kampung Silam Lamak, tiga lelaki warga Filipina berumur antara 31 hingga 41 tahun turut ditahan. Serbuan itu membawa kepada rampasan 5.11 gram syabu serta beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk menghisap dadah.

“Ketiga-tiga suspek turut disahkan positif dadah,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

Katanya lagi, semua suspek kini direman bagi membantu siasatan lanjut, dan kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara, denda serta sebatan jika sabit kesalahan.

Mereka juga disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) akta sama yang membawa hukuman denda, penjara atau pengawasan polis.

Exit mobile version