TAWAU: Tiga individu cedera dalam satu kejadian kebakaran yang memusnahkan sepenuhnya sebuah rumah dua tingkat jenis separuh kekal di Kampung Rawa-Rawa Batu 4, awal pagi tadi.
Menurut kenyataan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.01 pagi sebelum dua jentera FRT, satu EMRS dan sebuah kenderaan pacuan empat roda dengan kekuatan 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau digerakkan ke lokasi kejadian.
Komander Operasi, PBK I Rosliee Suyut berkata, kebakaran melibatkan rumah berkeluasan 30×40 kaki itu terbakar 100 peratus ketika pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 6.10 pagi.
“Tiga mangsa dilaporkan cedera ketika menyelamatkan diri. Seorang wanita berusia 53 tahun mengalami melecur di tapak kaki, seorang lagi wanita berusia 41 tahun cedera di bahagian bibir atas dan patah gigi, manakala seorang remaja lelaki berumur 19 tahun cedera ringan di bahagian kaki,” katanya.
Kesemua mangsa menerima rawatan awal daripada pasukan EMRS Bomba dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebelum dihantar ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut.
Operasi pemadaman menggunakan dua aliran sepanjang 200 kaki dari sumber air jentera dan pili bomba, dibantu oleh pasukan Bomba Komuniti Kampung Titingan yang turut menggunakan air dari sumber terbuka.
Operasi berjaya dikawal pada jam 6.51 pagi dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.27 pagi setelah tiada lagi risiko di lokasi.
Turut terlibat dalam operasi ialah anggota dari PDRM, KKM, APM, SE dan Jabatan Air Negeri Sabah.

