Site icon TUHAU BAMBANGAN

Simpan & jual minyak masak subsidi secara haram, lelaki ditahan bersama rampasan bernilai lebih RM15,000

SEMPORNA: Seroang lelaki ditahan kerana menjadikan kediamannya sebagai tempat penyimpanan dan penjualan minyak masak subsidi secara haram di Kampung Seri Melor, kelmarin.

Kegiatan tersebut terbongkar selepas diserbu oleh anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 22 Kunak dalam operasi bersepadu yang dijalankan menerusi Ops Bersepadu Intra/Inter Agensi – Op Taring Bravo 2 bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Semporna.

Menurut Komander PGA Sabah, Datuk Abdul Rani Alias, serbuan tersebut dibuat hasil risikan berkaitan kegiatan penyimpanan dan penjualan minyak masak bersubsidi tanpa kebenaran.

Katanya, dalam serbuan tersebut telah menemui sebanyak 310 kotak minyak masak satu kilogram yang mengandungi 5,270 peket, dipercayai untuk dijual secara haram.

“Selain rampasan minyak masak, pihak berkuasa turut menyita sebuah telefon bimbit serta satu set mangga dan kunci yang dipercayai ada kaitan dengan kegiatan berkenaan.

” Seorang lelaki tempatan turut ditahan selepas gagal menunjukkan dokumen sah pemilikan atau penyimpanan barang kawalan terbabit,” katanya dalam kenyataan media, hari ini

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati minyak masak itu dipercayai diperoleh daripada pembekal luar daerah, dan suspek dipercayai telah menjalankan aktiviti ini sejak awal tahun.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM15,675 dan kes kini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya

Tambahnya, kejayaan operasi ini mencerminkan kesungguhan pihak berkuasa dalam membanteras penyelewengan barang kawalan serta aktiviti penyeludupan yang boleh menjejaskan hak rakyat dan kestabilan ekonomi setempat.

Exit mobile version