KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menyelar kenyataan Ketua UMNO Sabah, Datuk Bung Moktar Radin, yang mendakwa kononnya ketidakstabilan politik dan kemunduran ekonomi Sabah berlaku sebelum tahun 1994. Menurut STAR, kenyataan tersebut adalah tidak berasas dan merupakan cubaan menulis semula sejarah demi mempertahankan dominasi politik dari Persekutuan.
Dalam satu kenyataan media hari ini, STAR menegaskan bahawa masalah utama Sabah bukanlah perpecahan dalam kalangan rakyat tempatan, tetapi campur tangan kuasa luar, penyelewengan hasil negeri, dan kegagalan Persekutuan menunaikan janji dalam Perjanjian Malaysia 1963.
“Yang paling besar ialah pengkhianatan politik tahun 1994 — apabila rakyat memilih PBS tetapi kuasa dirampas melalui lompat parti yang dirancang,” kata kenyataan itu.
STAR turut menolak naratif bahawa kemajuan Sabah hanya bermula di bawah UMNO, menyifatkannya sebagai satu penghinaan terhadap rakyat Sabah yang bertungkus-lumus membangunkan negeri ini walaupun tanpa layanan adil dari Kerajaan Persekutuan. Mereka menegaskan bahawa Sabah masih merupakan antara negeri termiskin di Malaysia disebabkan dasar-dasar yang ditentukan di Putrajaya, bukan di Kota Kinabalu.
Mengulas tentang seruan “Sabah untuk Rakyat Sabah”, STAR menyatakan bahawa ia bukan sekadar slogan politik, tetapi satu gerakan rakyat yang menuntut maruah dan hak untuk menentukan masa depan negeri ini.
Presiden STAR, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan, disebut sebagai tokoh yang kekal konsisten memperjuangkan mesej ini. Malah, parti itu menyifatkan dakwaan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, bahawa Jeffrey menyemarakkan sentimen ini sebagai bukti kekuatan gerakan tersebut.
“Kami sebagai ahli STAR berbangga dengan dakwaan itu. Jika memperjuangkan hak negeri ini menjadikan kami bersalah, maka kami rela dipersalahkan,” jelas kenyataan itu.
STAR juga menolak kemunculan semula parti-parti politik berasaskan Semenanjung seperti UMNO, PKR, Bersatu dan DAP di Sabah, menyatakan bahawa pengalaman lalu menunjukkan negeri ini hanya digunakan sebagai alat politik, sebelum diketepikan.
“Sabah mesti diterajui oleh rakyat Sabah sendiri. Titik,” tegas STAR.
Parti itu menyatakan komitmen untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang berkongsi misi memperjuangkan hak negeri, namun menolak mereka yang merendahkan sejarah dan perjuangan rakyat Sabah.
“Sabah bukan negeri yang gagal. Sabah telah dikhianati. Kami tidak akan dikhianati lagi,” katanya sambil menutup kenyataan.

