Site icon TUHAU BAMBANGAN

SPRM tahan reman 5 individu termasuk 4 bekas pegawai bank, disyaki bersubahat luluskan pinjaman bernilai RM11.3 juta

SANDAKAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, telah menahan reman lima individu termasuk empat bekas pegawai bank kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM300,000 daripada pemilik syarikat sebagai dorongan untuk meluluskan permohonan pinjaman kewangan dengan menggunakan dokumen sokongan palsu.

Perintah reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 28 Mei 2025 terhadap kelima-lima suspek lelaki berusia lingkungan 30 hingga 50-an telah dikeluarkan Majistret 1 Siti Aisyah Umar Baki selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Sesyen Sandakan pagi tadi.

Menurut sumber, kesemua suspek telah ditahan antara jam 2 petang hingga 7 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Cawangan Sandakan.

“Kesemua suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut sekitar tahun 2022 hingga 2024 yang melibatkan kelulusan pinjaman pembiayaan bernilai kira-kira RM11.3 juta daripada 39 pemohon.

“Kesemua suspek juga dipercayai menerima wang rasuah secara tunai dan juga melalui transaksi pindahan ke akaun bank masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Karunanithy Y. Subbiah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a(A) Akta SPRM 2009.

Exit mobile version