Site icon TUHAU BAMBANGAN

Dendam politik lama belum selesai, mungkin punca Suhaimi gagal bezakan fakta & sentimen – Nizam

KOTA KINABALU: Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan membidas kenyataan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir yang menyeru beliau untuk melihat cermin sambil menekankan bahawa Nizam juga antara anggota kerajaan sejak sekian lama dan sebahagian dari kegagalan yang terlihat kini.

“Ternyata nama saya cukup kuat untuk memanggil beliau keluar dengan nada marah-marah dan penuh emosi, satu tanda bahawa kebenaran itu, walau pahit, tetap mengganggu ketenangan mereka yang berkepentingan.

“Suhaimi dengan penuh dramatik menyeru agar saya melihat cermin. Izinkan saya membalas: terkadang cermin yang digunakan itu retak, dan yang dilihat cuma bayang-bayang dendam politik lama yang belum selesai. Barangkali itu sebabnya beliau gagal membezakan fakta dan sentimen.

“Saya tidak menafikan saya pernah berada dalam kerajaan dahulu, dan saya juga tidak menyembunyikan rekod saya namun, bezanya, saya tidak muncul selepas dua dekad diam, lalu mendakwa suci seperti kain putih.

“Saya terus bekerja dan kekal bersama rakyat, bukan hanya menjelma apabila ingin menabur persepsi,” tegasnya dalam satu kenyataan media di sini, baru-baru ini.

Mengulas mengenai kenyataan Suhaimi tentang berterima kasih kepada UMNO, Nizam yang juga ADUN Apas berkata, beliau tidak tahu jika Suhaimi masih terperangkap dalam politik era 1990-an yang percaya bahawa jawatan adalah hasil belas ehsan parti, bukan mandat rakyat sambil mendoakan Suhaimi cepat pulih daripada perangkap nostalgia itu.

“Ketika sedang asyik menyerang saya, beliau juga ‘tersasul’ memalitkan rakan-rakan kabinet yang kini sama-sama berusaha membetulkan kesilapan lampau, termasuk kesilapan yang dilakukan oleh pemimpin partinya sendiri sewaktu menerajui kerajaan negeri dahulu. Ini adalah contoh meludah ke langit yang paling tepat.

“Soalan saya masih belum dijawab: ke mana RM7.5 bilion dana kemudahan asas semasa era UMNO dahulu? Soalan ini masih belum dijawab tuntas, dan setakat ini hanya dijawab dengan emosi, bukan data,” soalnya dengan tegas.

Nizam yang juga Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata, Sabah tidak memerlukan politikus yang ‘tersentuh’ bila disentuh.

“Sabah perlukan mereka yang tahu menerima kritikan, bekerja dalam senyap, dan membalas dengan hasil, bukan dengan karangan penuh kiasan, sindiran dan nostalgia kerusi.

“Akhir kata, saya ucapkan selamat maju jaya kepada Suhaimi. Jika benar beliau dan kepimpinan UMNO Sabah hari ini mahu berubah dan tidak lagi terbeban dengan dosa-dosa lama, maka mulakanlah dengan menyumbang, bukan menyerang. Seandainya ingin berdrama, pastikan skripnya logik dan wataknya tidak bercanggah,” tegasnya lagi.

Exit mobile version