KOTA KINABALU: Satu cubaan bunuh diri yang mencemaskan di sebuah bangunan tinggi di sini telah berjaya digagalkan hasil tindakan pantas dan profesional oleh anggota dari Balai Polis Kota Kinabalu pada Rabu lalu
Polis Kota Kinabalu berkata, menurut maklumat yang diterima, seorang lelaki berbangsa Cina dilihat berada di tepi balkoni tingkat 25 sebuah bangunan, dipercayai dalam cubaan untuk terjun.
“Kejadian itu mencetuskan kegusaran dalam kalangan orang awam yang berada di lokasi.
“Balai Polis Kota Kinabalu bertindak segera sebaik menerima panggilan kecemasan. Tiga anggota – Sarjan Selihin, Lans Koperal Rasidi dan Konstabel Irwan – telah dikerahkan ke tempat kejadian dan bertindak dengan pantas serta berhati-hati untuk menenangkan lelaki tersebut.
“Dengan pendekatan yang penuh empati dan kecekapan tinggi, mereka berjaya memujuk mangsa agar tidak meneruskan niat tersebut. Mangsa akhirnya dibawa masuk ke dalam bilik oleh teman wanitanya dalam keadaan selamat,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda menzahirkan penghargaan kepada ketiga-tiga anggota yang terlibat atas tindakan berani dan pantas mereka yang bukan sahaja menyelamatkan nyawa, tetapi juga mencerminkan komitmen tinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam melindungi keselamatan awam.
“Syabas dan tahniah kepada anggota yang terlibat. Tindakan ini membuktikan bahawa PDRM sentiasa bersedia dan prihatin terhadap isu-isu melibatkan kesihatan mental serta kesejahteraan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.
Insiden ini turut menjadi peringatan tentang pentingnya kesedaran terhadap kesihatan mental dalam kalangan masyarakat.
Pihak berkuasa menyeru agar orang ramai tidak teragak-agak untuk mendapatkan bantuan jika menghadapi tekanan atau masalah emosi yang serius.
Orang ramai boleh menghubungi talian bantuan seperti Befrienders di 03-7627 2929 yang beroperasi 24 jam sehari bagi mendapatkan sokongan emosi secara percuma dan sulit.

