Site icon TUHAU BAMBANGAN

Bung ‘backup’ Zahid, tidak mahu Sabah jadi mangsa percaturan slogan ‘Sabah For Sabahan’

KOTA KINABALU: Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin tampil mempertahankan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi susulan kenyataannya yang menyifatkan slogan ‘Sabah for Sabahan’ sebagai sesuatu yang berpotensi memecahbelahkan rakyat di negeri ini.

Menurut Bung, walaupun slogan tersebut mampu membangkitkan semangat kenegerian dalam kalangan rakyat Sabah, ia tidak sepatutnya menjadi alasan untuk menolak kerjasama dengan kerajaan Persekutuan yang diperlukan bagi menjamin kesejahteraan dan pembangunan negeri.

“Kita tidak mahu Sabah terus menjadi mangsa percaturan slogan, sedangkan rakyat masih menagih air bersih, elektrik yang stabil dan peluang pekerjaan yang mampan,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan semalam.

Tambahnya, perjuangan sebenar bukan sekadar melaungkan slogan, tetapi menyelesaikan isu-isu asas yang masih membelenggu kehidupan rakyat di negeri itu.

Bung turut menegaskan bahawa rakyat Sabah kini semakin matang dalam menilai prestasi pemimpin, dan tidak mudah terpengaruh dengan retorik kosong atau provokasi politik.

“Rakyat Sabah hari ini semakin bijak. Mereka menilai berdasarkan prestasi, bukan provokasi. Mereka mahu pembangunan, bukan perpecahan. Mereka mahu kestabilan, bukan ketegangan yang dihidangkan demi kepentingan peribadi,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Bung berkata bahawa perjuangan menuntut hak negeri harus dilaksanakan dengan penuh kesedaran terhadap sejarah, adab politik dan semangat membina, bukan dengan sikap konfrontasi.

Sebagai contoh, beliau memetik kepimpinan Allahyarham Tun Datu Mustapha yang berjaya memperjuangkan kepentingan Sabah dengan pendekatan yang membina hubungan baik antara negeri dan kerajaan Persekutuan.

“Perjuangan menuntut hak negeri bukan perlumbaan, tetapi tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan keberanian membina, bukan meroboh,” katanya lagi.

Kenyataan Bung Moktar hadir di tengah-tengah polemik berterusan mengenai hubungan Sabah dan Persekutuan, dengan sebahagian pihak mendesak lebih otonomi untuk negeri itu, termasuk menerusi slogan ‘Sabah for Sabahan’ yang semakin lantang dilaungkan oleh kelompok tertentu.

Exit mobile version