Site icon TUHAU BAMBANGAN

Lelaki hilang ketika buat kerja pembersihan pencawang di Lokawi

PUTATAN: Seorang lelaki yang merupakan pekerja Sabah Electricity (SE) dilaporkan hilang ketika menjalankan kerja pembersihan di kawasan pencawang elektrik berhampiran Rimba Hill, Lokawi, petang kelmarin.

Mangsa dikenali sebagai Aszaman Salleh, 48 tahun, kali terakhir dilihat sekitar kawasan pencawang sebelum dilaporkan hilang oleh rakan sekerja.

Kejadian tersebut dimaklumkan kepada pihak Bomba dan Penyelamat pada jam 6.31 petang, menerusi panggilan kecemasan yang diterima oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan.

Sebuah jentera LFRT bersama enam anggota dari BBP Putatan dikejarkan ke lokasi dan tiba pada jam 6.44 petang, kira-kira 13 kilometer dari balai.

Operasi pencarian diketuai oleh PBK II KUP Azlan, manakala Ketua Balai, PPgB Noorsherriyana Bohari, turut memantau perkembangan dari pusat kawalan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak bomba, mangsa dipercayai hilang selepas melakukan kerja pembersihan rutin di pencawang milik Sabah Electricity. Usaha pencarian kini sedang dijalankan oleh pasukan bomba bersama tiga wakil dari SE.

Setakat ini, operasi masih diteruskan dan mangsa masih belum dijumpai. Pasukan penyelamat kini sedang meneliti kawasan sekitar pencawang dan laluan berhampiran yang berkemungkinan digunakan oleh mangsa.

Pihak berkuasa menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat atau yang berada di kawasan sekitar untuk tampil membantu atau menghubungi pihak berkuasa bagi mempercepatkan usaha pencarian.

Maklumat lanjut akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

Exit mobile version