KOTA KINABALU: Bekas Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Aksyah Nasrah mempersoalkan kemunculan idea pembentukan “Grand Coalition” selepas Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor memberikan reaksi terhadap kerjasama rasmi yang telah dimeterai antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di peringkat Persekutuan.
Dalam kenyataan tegasnya, Aksyah mempertikaikan motif sebenar di sebalik cadangan pembentukan gabungan besar tersebut dan menyifatkannya sebagai langkah yang hanya muncul selepas GRS secara jelas tidak menyatakan minat untuk bergabung dengan BN Sabah.
“Bila masa GRS ada hasrat bentuk Grand Coalition? Bukankah PH-BN sudah memeterai kerjasama tanpa libatkan GRS? Atau bahasa kasarnya membelakangkan GRS? Sedangkan GRS adalah parti pemerintah. Sepatutnya, apapun kerjasama kenalah rujuk ‘Tuan Rumah’,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Isnin.
Aksyah turut membayangkan bahawa lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Sabah baru-baru ini adalah untuk merunding semula susunan politik selepas kebangkitan suara rakyat yang mahu parti tempatan terus mendominasi tampuk pemerintahan negeri.
Menurut beliau, sebagai pemimpin beradab, Hajiji menerima kunjungan Perdana Menteri dengan terbuka, namun sebarang keputusan besar tetap diputuskan oleh struktur organisasi GRS secara kolektif.
“GRS adalah parti berstruktur, ada organisasi teratur untuk buat keputusan besar. Harap-harap Ahli Majlis Tertinggi (AMT) GRS kekal konsisten untuk bergerak solo. Rakyat sudah beri signal yang jelas,” ujarnya lagi.
Aksyah juga mendakwa bahawa idea Grand Coalition hanya timbul selepas rakyat menolak naratif gabungan luar dan menyifatkannya sebagai satu bentuk reaksi terdesak yang kini sedang cuba diputarbelit.
“Jangan pula putar alam seolah-olah kami di pihak GRS yang mahu idea ini. Minta maaf ya, bukan putungan kami begini. Kalau betul-betul mahu berlawan, kita berlawan,” tegasnya.
Beliau turut menekankan bahawa GRS tidak pernah menyuarakan hasrat untuk menerima UMNO/BN Sabah sebagai rakan kerjasama, sebaliknya hanya mengenang sokongan berterusan PH terhadap pentadbiran Hajiji pasca kegagalan “Langkah Kinabalu”.
“Perlu diingat, belum pernah Hajiji sebut atau cakap mahu masukkan BN Sabah dalam kerjasama. Tetapi, sebagai manusia beradab, dimasukkan PHPlus dalam kerjasama PRN-17 nanti,” katanya.
Aksyah turut memberi amaran bahawa GRS tidak akan berdiam diri sekiranya melihat gerakan politik yang tidak menghormati kedudukan mereka sebagai kerajaan negeri yang sah.
“GRS bukan anak kecil untuk dibelakangkan. Kalau PH lebih yakin pada BN, silakan. Tapi GRS tetap bersedia mengGasak pada bila-bila masa kerana melihat ada gerak sudah sumbang langkahnya,” tambah beliau.

