Site icon TUHAU BAMBANGAN

Lelaki hilang bersama 3 rakannya di hutan Tamaco Tungku, Lahad Datu sejak Khamis

LAHAD DATU: Seorang lelaki dilaporkan hilang bersama tiga orang rakannya selepas memasuki kawasan hutan di Tamaco, Tungku sejak Khamis lalu 8 Mei bagi mencari hasil hutan.

Menurut kenyataan awal yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah, pihak mereka menerima panggilan kecemasan daripada Balai Polis Tungku pada jam 7.02 pagi tadi untuk memohon bantuan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Mangsa dikenali sebagai Fendery Ani, 37 tahun, dan difahamkan bersama tiga lagi individu telah memasuki hutan pada jam 4.00 petang, 8 Mei lalu, sehingga hari ini, mereka masih belum pulang ke rumah dan gagal dihubungi melalui telefon.

Menurut laporan, pengadu yang merupakan sepupu kepada mangsa telah cuba menghubungi mangsa namun tidak mendapat sebarang maklum balas.

Pada 11 Mei, pengadu turut menghubungi penyelia mangsa, Sarjan Wan dari Kem Cenderawasih, selepas mendapati mangsa tidak hadir bertugas seperti yang dijadualkan.

Buat masa ini, maklumat identiti dan keadaan tiga lagi rakan mangsa masih belum diperoleh.

Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu yang diketuai oleh PBK I Mohammad Akbar Mohambar dengan kekuatan lima anggota serta sebuah jentera DMAX, telah menuju ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 40 kilometer dari balai.

Operasi SAR sedang disusun dan akan dilaksanakan sebaik pasukan tiba di lokasi. Usaha mencari dan maklumat lanjut akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

Exit mobile version