PENAMPANG: Sebuah kereta jenis Proton Waja musnah terbakar dijilat api dalam satu insiden yang berlaku tengah hari tadi di Kg Kimoligan, Penampang.
Menurut kenyataan rasmi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, panggilan kecemasan diterima melalui talian MERS999 pada jam 12.21 tengah hari.
Sebuah jentera bomba jenis LFRT bersama enam anggota telah digegaskan ke lokasi dan tiba pada jam 12.29 tengah hari.
Kebakaran dilaporkan melibatkan sebuah kereta yang diletakkan di tepi jalan dan telah terbakar sepenuhnya sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran salur bantu mula dari jentera bomba. Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian ini,” kata Pegawai Bomba Kanan I (PBKI) KUP Mohd Khairul Abdul Kohir selaku Komander Operasi.
Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 12:36 tengah hari dan operasi pemadaman ditamatkan pada jam 13:09 selepas pemeriksaan lanjut memastikan tiada risiko bahaya lain di kawasan sekitar.
Setakat ini, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. Tiada agensi lain dilaporkan terlibat dalam operasi kali ini.
Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan tidak meninggalkan barang mudah terbakar di dalam kenderaan yang diletakkan di kawasan terbuka.

