Site icon TUHAU BAMBANGAN

Viva terjunam ke dalam loji kumbahan di Kingfisher, warga emas dan anak lelaki berjaya diselamatkan

KOTA KINABALU: Dua beranak berjaya diselamatkan orang awam selepas kenderaan jenis Perodua Viva yang mereka naiki terbabas sendiri dan terjunam ke dalam sebuah kolam kumbahan di Jalan Kingfisher, dekat sini, pagi tadi.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan berhubung insiden tersebut pada jam 8.28 pagi melalui talian MERS999, sebelum sebuah jentera FRT dan EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dengan kekuatan 10 anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

Menurut Komander Operasi, PBK II Lawrence Matusin, setibanya di lokasi, didapati kenderaan terbabit telah terjunam ke dalam kolam kumbahan milik loji rawatan berhampiran. Bagaimanapun, kedua-dua mangsa yang masing-masing berusia 49 dan 79 tahun telah berjaya dikeluarkan dalam keadaan selamat oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian.

“Kejadian berlaku apabila kenderaan yang dinaiki dua mangsa, iaitu seorang lelaki berusia 49 tahun dan ibunya berusia 79 tahun, hilang kawalan sebelum terbabas dan masuk ke dalam kawasan loji kumbahan. Beberapa orang awam yang kebetulan melalui jalan tersebut segera bertindak membantu.

“Menurut saksi, mereka menggunakan kayu yang terdapat di lokasi untuk dihulurkan kepada mangsa sebagai tempat berpaut. Mangsa pertama, warga emas, berjaya keluar sendiri melalui pintu belakang dan berpaut pada kayu yang dihulur, manakala pemandu kenderaan keluar melalui tingkap bahagian pemandu dengan cara yang sama.

“Kedua-dua mangsa kemudiannya ditenangkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan penyelamat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Antara yang terlibat dalam usaha menyelamat itu termasuk seorang anggota bomba dari BBP Lintas, PBK I Hasrulnizam Md Zain, yang kebetulan berada di lokasi kejadian ketika sedang bercuti (off-duty).

Tindakan pantas beliau bersama orang awam lain membantu mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk.

Pihak bomba kemudiannya melakukan pemantauan di kawasan kejadian bagi memastikan tiada risiko bahaya lain sebelum menamatkan operasi.

Kedua-dua mangsa dilaporkan selamat dan tidak mengalami kecederaan serius.

Exit mobile version