Site icon TUHAU BAMBANGAN

GRS teguh bersatu hadapi PRN, 7 Presiden Parti nyatakan komitmen padu – Hajiji

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hari ini mengukuhkan lagi perpaduan dalam kalangan parti komponennya apabila kesemua tujuh Presiden parti-parti dalam gabungan itu menyatakan komitmen penuh untuk terus bersama menghadapi Pilihan Raya Negeri yang bakal tiba.

Pertemuan selama hampir tiga jam itu menyaksikan barisan kepimpinan tertinggi GRS sepakat untuk terus bergerak dalam satu hala tuju, menzahirkan semangat muafakat dan perpaduan demi kestabilan politik serta pembangunan berterusan negeri Sabah.

Antara pemimpin utama yang hadir termasuk Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam; Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan; Presiden United Sabah National Organisation (USNO), Tan Sri Pandikar Amin; dan Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Tan Sri Anifah Aman.

Turut hadir ialah Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee; Presiden Liberal Democratic Party (LDP), Datuk Chin Su Phin; Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah, Tan Sri Liew Yun Fah; serta Pengarah Pilihan Raya GRS, Datuk Seri Masidi Manjun.

Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, bahawa pertemuan itu menzahirkan kesatuan sebagai satu keluarga politik yang mempunyai matlamat bersama untuk memastikan Sabah terus melangkah maju dalam suasana yang stabil, bersatu dalam kepelbagaian, dan teguh dalam perjuangan.

“Saya menghargai kepercayaan dan semangat yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin parti, dan sememangnya ini membuktikan bahawa kami akan terus bergerak sehaluan demi kestabilan politik dan pembangunan negeri tercinta,” katanya yang juga Ketua Menteri Sabah dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Gabungan tersebut turut menekankan bahawa muafakat dan perpaduan adalah kekuatan utama dalam mendepani cabaran politik semasa, dan GRS yakin dengan sokongan padu rakyat Sabah, mereka akan terus menjadi pilihan utama dalam pilihan raya akan datang.

GRS kini bersiap sedia untuk menghadapi PRN dengan keyakinan tinggi, membawa mesej perpaduan dan pembangunan yang inklusif buat semua rakyat di negeri bawah bayu ini.

Exit mobile version