Site icon TUHAU BAMBANGAN

Dua cedera dalam kemalangan dua kenderaan di Taman BDC, Kolombong

KOTA KINABALU: Dua lelaki mengalami kecederaan ringan selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya melibatkan dua buah kenderaan di Taman BDC, Kolombong malam tadi.

Menurut kenyataan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.19 malam menerusi talian MERS999, sebelum tiba di lokasi kejadian kira-kira 10 minit kemudian.

“Kemalangan tersebut membabitkan sebuah Toyota Vios dan Perodua Kenari.

“Kedua-dua mangsa, dikenali sebagai Alvin Lim Uon Hee, 36, dan Noah Gregor Tiong Hao Onn, 20, hanya mengalami kecederaan ringan dan telah diberi rawatan awal oleh pasukan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) di lokasi kejadian.

“Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Queen Elizabeth II untuk rawatan lanjut menggunakan jentera EMRS dan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” kata Komander Operasi PBK I Selvister Yamud dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Seramai 11 anggota dari BBP Lintas dikerahkan ke lokasi dengan dua buah jentera, iaitu satu FRT (Fire Rescue Tender) dan satu EMRS.

Operasi dikendalikan dengan kerjasama pasukan polis (PDRM) dan KKM, dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.36 malam setelah keadaan di lokasi disahkan selamat.

Punca kemalangan masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Exit mobile version