KOTA KINABALU: Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumah sejak 28 Mac lalu.
Polis Kota Kinabalu memaklumkan, kehilangan Cheryl Vivy Roimon dari Kampung Bantayan, Inanam kini menimbulkan kebimbangan keluarga dan masyarakat setempat.
“Menurut laporan, Cheryl telah keluar dari rumah bersama seorang rakan dan memaklumkan bahawa dia akan pulang kemudian.
“Namun, sehingga kini, remaja tersebut masih belum kembali. Segala usaha yang dilakukan oleh ahli keluarga termasuk menghubungi rakan-rakan dan kenalan rapat tidak membuahkan hasil.
“Laporan polis telah dibuat pada 6 Mei 2025 bagi membolehkan tindakan lanjut diambil oleh pihak berkuasa dan kes kini dikendalikan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Cheryl merupakan seorang remaja berbangsa Sino, mempunyai susuk badan berisi, berkulit kuning langsat, bermata hitam, dengan bulu kening tebal. Rambutnya berwarna perang, panjang paras dada, dan memiliki bibir yang nipis.
Pihak keluarga dan polis memohon kerjasama orang ramai yang mungkin mempunyai maklumat atau terlihat Cheryl untuk segera menghubungi IPD Kota Kinabalu di talian 088-529222 atau terus berhubung dengan Pegawai Penyiasat (IO), Insp. Ibrahim Jalani di talian 019-8499062.
Orang ramai juga diminta untuk berkongsi maklumat ini agar lebih ramai yang dapat membantu mengesan Cheryl. Semoga remaja ini segera ditemui dalam keadaan selamat.

