SIPITANG: Mayat seorang lelaki yang yang dipercayai disambar buaya dan dilapor hilang semasa memukat ikan di Sungai Megalong, Kampung Banting sejak lima hari lalu bermula 1 Mei, akhirnya ditemui dalam keadaan tidak sempurna pada tengah hari kelmarin.
Mangsa Punggut Madin, 52 tahun, disedari hilang oleh rakan-rakannya ketika sedang menarik pukat di sungai tersebut. Menurut saksi, mangsa dipercayai telah disambar buaya dan terus tenggelam tanpa sempat diselamatkan.
Pusat Gerakan Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 3.32 petang, 1 Mei 2025, sebelum menggerakkan enam anggota bersama sebuah jentera FRT, EMRS dan sebuah bot ke lokasi kejadian sejauh 10 kilometer.
Menurut Pegawai Operasi, PBK I Stefanus Lolon bin Andreas, pasukan bomba dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung telah menjalankan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) selama lima hari menyusuri sungai sejauh 8 kilometer.
Pada hari kelima operasi, jam 12.20 tengah hari (5 Mei), orang awam berjaya menemui mangsa kira-kira 2.3 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang. Pasukan bomba kemudiannya mengerahkan drone bagi memastikan keselamatan kawasan sebelum memasuki anak sungai untuk proses pengesahan dan pengambilan mayat.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.30 petang.

