Site icon TUHAU BAMBANGAN

Varian Delta di Australia kini merebak ke New Zealand

Pihak berkuasa Australia semakin bimbang penularan varian Delta Covid-19 semakin meluas di negeri New South Wales, wilayah terpadat di negara itu yang turut termasuk Sydney, susulan 633 lagi kes baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam semalam.

Jumlah itu meningkat berbanding angka tertinggi yang dicatatkan pada Sabtu yang membabitkan seramai 466 individu dijangkiti Covid-19 di negeri berkenaan.

Tiga pesakit Covid-19 juga disahkan meninggal dunia semalam – kes kematian pertama sejak pertengahan Jun lalu – menjadikan keseluruhan sejak wabak itu kali pertama dikesan di Sydney pada pertengahan Jun kepada 60 individu.

“Saya mengambil berat dengan apa yang berlaku, tidak dapat saya gambarkan perasaan itu dengan peningkatan jumlah kes yang semakin meningkat ini,” kata Pengarah Kesihatan New South Wales, Kerry Chant.

“Jangkitan turut dilaporkan di beberapa bandar di wilayah barat, utara dan tengah New South Wales sejak beberapa hari lalu.

“Varian Delta benar-benar meletakkan New South Wales di atas mata pisau,” kata Timbalan Ketua Menteri, John Barilaro.

Sydney diletakkan di bawah perintah sekatan dan penutupan sejak 26 Jun, sebelum dikuatkuasakan di seluruh negeri itu mulai Sabtu lalu.

Ketua Menteri Gladys Berejiklian pula menolak kritikan bahawa perintah sekatan di Sydney tidak ketat, dengan menggambarkan penutupan sedia ada sebagai ‘sangat keras dan sangat ketat’ serta berdasarkan nasihat kesihatan pakar.

Sementara itu, ibu negara, Canberra yang dikelilingi New South Wales turut melaporkan 22 kes baharu Covid-19 yang dikatakan dibawa dari Sydney, berbanding 67 kes yang dikesan minggu lalu.

Dalam perkembangan lain, New Zealand melaporkan kes baharu Covid-19 di negara itu, pertama kali sejak enam bulan lalu.

Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern memaklumkan bahawa jumlah kes Covid-19 dijangka terus meningkat apabila terdapat beberapa individu yang telah dijangkiti pergi ke gereja, sekolah, kasino dan hospital.

Ardern turut menyeru orang ramai untuk memakai pelitup muka ketika berada tempat awam seperti di pasar raya, stesen minyak dan farmasi ketika perintah sekatan dilaksanakan.

Kelmarin, Kerajaan New Zealand melaksanakan perintah penutupan dan sekatan selama tiga hari, manakala Auckland dan Coromandel melanjutkan perintah itu sehingga tujuh hari setelah kes jangkitan pertama dikesan di negara itu.

Ardern berkata, kajian yang dilakukan mengesahkan bahawa varian Delta itu berasal dari Sydney, walaupun pihaknya belum mempunyai alasan yang tepat tentang bagaimana varian tersebut dapat tersebar di sempadan kawalan kuarantin. 

SUMBER : Agenda Daily

Exit mobile version