SANDAKAN: Tiga lelaki warga asing bersama seorang lagi wanita tempatan telah ditahan polis kerana dipercayai terlibat dengan kegiatan mengedar dan menagih dadah di dua tempat berasingan di daerah ini pada sekitar jam 10 pagi hari ini.
Polis Sandakan dalam satu kenyataan memaklumkan, tangkapan tersebut dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Sandakan menerusi Ops. Tapis Naroktik.
“Ini dilakukan bagi tujuan membanteras gejalan pengedaran dan penagihan dadah di kawasan tepi Jalan Utara, Batu 3, Sandakan dan di Setinggan Bandar Letat, Batu 3 Sandakan.
“Operasi tersebut telah berjaya menahan seorang lelaki warga asing bersama seorang wanita tempatan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Manakala, dua lagi lelaki warga asing turut ditahan di bawah Seksyen 15(1) akta yang sama,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Tambah kenyataan itu lagi, pelaksanaan Operasi ini sebagaimana tekad Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Ahsmon Bajah untuk membanteras jenayah dadah di daerah itu.