TAWAU: Seorang lelaki ditahan selepas disyaki mengamuk dan mengugut untuk membunuh ahli keluarganya dalam kejadian di Kampung Serudong Baru, Jalan Quoin Hill, Tawau, pada 15 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Bin Hussin berkata, suspek berusia 30 tahun ditahan di sekitar kawasan Kampung Serudong Baru, Tawau oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau kira-kira jam 12.30 tengah hari kelmarin.
Menurutnya, kejadian berlaku di rumah bapanya, di mana suspek didakwa mengacu parang ke arah kedua-dua ibu bapanya sambil mengeluarkan kata-kata ugutan yang menyebabkan ketakutan dalam kalangan ahli keluarganya.
Hasil semakan rekod lampau mendapati suspek pernah ditahan dalam kes berkaitan penyalahgunaan dadah.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah,” katanya.
Pihak polis menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang mengancam keselamatan awam.
Orang ramai dinasihatkan agar melaporkan sebarang insiden keganasan rumah tangga atau ancaman jenayah kepada pihak berkuasa bagi memastikan kesejahteraan masyarakat terus terpelihara.