Site icon TUHAU BAMBANGAN

DBKK sita peralatan 8 penjaja tanpa lesen di tepi jalan Aeropod

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Jabatan Pelesenan dan Jabatan Penguatkuasaan telah mengadakan operasi bersepadu terhadap penjaja tanpa lesen di kawasan tepi jalan Aeropod, Tanjung Aru, pada 15 Mac lalu.

Operasi bersepadu yang diadakan bermula pukul 10 malam itu disertai seramai 15 anggota DBKK, yang terdiri daripada empat anggota Bahagian Lesen Penjaja, Jabatan Pelesenan dan 11 anggota daripada Jabatan Penguatkuasaan.

Operasi ini berjaya mengenal pasti sebanyak lapan penjaja tanpa lesen sedang menjalankan aktiviti menjaja di sekitar kawasan berkenaan, yang juga merupakan tempat larangan menjaja.

“Ketika pemeriksaan dijalankan, kesemua mereka gagal untuk menunjukkan lesen penjaja yang dikeluarkan oleh pihak DBKK.

“Susulan itu, DBKK telah bertindak untuk menyita peralatan-peralatan penjaja. Para penjaja turut diberi amaran keras agar tidak lagi menjalankan aktiviti menjaja di kawasan berkenaan,” jelas DBKK dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Ketegasan DBKK dalam membanteras penjaja haram ini perlu dilihat dari segi komitmen untuk menjaga kepentingan awam agar aspek keselamatan di lokasi adalah terjamin, kebersihan dipantau dan kesihatan orang awam akan lebih terjaga.

Exit mobile version