Site icon TUHAU BAMBANGAN

DBKK pantau kehadiran buaya di perairan sekitar bandaraya KK

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Jawatankuasa Pengurusan Ancaman Buaya Kepada Masyarakat DBKK, adalah komited dalam melaksanakan kerja-kerja pemantauan buaya di perairan sekitar Bandaraya Kota Kinabalu dari masa ke masa.

Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh YBhg. Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu ini turut dianggotai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah dan Jabatan Hidupan Liar.

Sejak ditubuhkan secara rasmi pada 30 Januari 2024, dua (2) siri operasi pemantauan buaya telah dilaksanakan. Operasi Pemantauan Buaya di Bandaraya Kota Kinabalu Siri 1/2024 telah diadakan pada 29 Februari 2024 hingga 01 Mac 2024, dengan lokasi operasi pemantauan buaya tertumpu di Sungai Darau, Sungai Kalansanan dan beberapa kawasan ‘hotspot’ yang dikenal pasti.

Manakala, Operasi Pemantauan Buaya di Bandaraya Kota Kinabalu Siri 2/2024 telah diadakan pada 19 hingga 20 Ogos 2024, berikutan isu kehadiran buaya di laut berdekatan pantai Tanjung Lipat yang tular di media sosial.

Menerusi hasil operasi pemantauan buaya Siri 1, jawatankuasa telah mengenal pasti lokasi yang mempunyai kehadiran populasi buaya, iaitu di Sungai Darau dan Bengkel Depoh, DBKK. Susulan itu, operasi pemantauan buaya Siri 2 tertumpu di Sungai Darau dan sungai berhampiran Bengkel Depoh, DBKK. Operasi susulan akan diadakan pada setiap suku tahunan yang bertujuan untuk memantau populasi buaya di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu

Selain daripada itu, Jawatankuasa Pengurusan Ancaman Buaya Kepada Masyarakat DBKK turut bertindak dengan menjalankan kajian anggaran dan bilangan buaya di kawasan bawah seliaan DBKK; memasang tanda amaran buaya di kawasan-kawasan yang dikenal pasti mempunyai kehadiran ancaman buaya serta memantau operasi secara berjadual dan pemasangan CCTV di kawasan ‘hotspot’.

DBKK akan sentiasa komited dalam usaha pemantauan kehadiran buaya di perairan sekitar Bandaraya Kota Kinabalu, termasuk menjalin kerjasama dengan agensi-agensi berwajib dalan memastikan keselamatan warga bandar raya sentiasa menjadi keutamaan.

Sementara itu, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kehadiran buaya di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu dinasihatkan untuk segera membuat laporan kepada pihak berkuasa melalui talian kecemasan yang disediakan.

Exit mobile version