Site icon TUHAU BAMBANGAN

Kerajaan Negeri hargai pengorbanan pasukan keselamatan dan petugas kesihatan – Ketua Menteri

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri mengakui kepentingan pasukan keselamatan dan petugas kesihatan terutama pengorbanan mereka dalam memastikan keamanan dan ketenteraman awam di Sabah selama ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, petugas barisan hadapan mempertaruhkan nyawa setiap hari demi melindungi rakyat dan negeri.

Berucap pada majlis penyampaian juadah Hari Raya Aidil Fitri kepada petugas barisan hadapan di Menara Kinabalu dekat sini hari ini, Hajiji berkata Sabah telah dilanda beberapa bencana alam sejak tahun lepas.

Beliau berkata tahun ini Sabah dilanda banjir di beberapa daerah termasuk Kota Marudu, Kota Belud, Telupid, Pitas, Beluran, Lahad Datu, Sandakan, Beaufort, Tongod dan Paitan.

“Malah, maklumat terkini Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hujan berterusan akan bermula pada 18 hingga 21 Mac ini di Sabah, Sarawak dan semenanjung selatan.

“Selain banjir, berlaku juga bencana kebakaran tahun ini di Likas yang menyebabkan 80 keluarga kehilangan tempat tinggal tahun ini.

“Semasa malapetaka ini, barisan hadapan kita, khususnya badan beruniform, pasukan keselamatan dan petugas kesihatan telah melaksanakan tugas mereka tanpa jemu untuk menyelamatkan nyawa. Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih,” katanya.

Hajiji berkata penyampaian cenderahati Hari Raya amat bermakna kerana ia menandakan penghargaan Kerajaan Negeri terhadap pengorbanan petugas barisan hadapan.

“Lebih bermakna majlis itu diadakan pada bulan Ramadan. Anggaplah ini sebagai simbol penghormatan rakyat Sabah terhadap jasa anda dan menjadi motivasi untuk anda terus memberikan khidmat bakti dengan penuh dedikasi,” katanya.

Kemudian, Hajiji menerima cenderahati raya yang disumbangkan oleh 33 kementerian, jabatan dan GLC sebelum diserahkan kepada 15 pasukan keselamatan dan petugas kesihatan.

Exit mobile version