SANDAKAN: Semua Jawatankuasa perhubungan parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah pun siapsiaga merangka gerak kerja awal bagi menghadapi Pilihanraya Umum Negeri (PRN) Sabah Ke-17.
Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah berkeyakinan tinggi bahawa parti-parti komponen GRS disemua peringkat telahpun mula menggerakan jentera masing-masing.
“Secara holistiknya Gagasan Rakyat telahpun merancang persiapan yang meyakinkan termasuk persiapan logistik penggunaan platform digital dan media sosial,” tegasnya.
Terdahulu beliau mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa Gagasan Rakyat Bahagian Kuamut di salah sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.
Masiung berkata, tiga sayap utama Gagasan Rakyat iaitu Wanita, Pemuda dan Beliawanis telahpun membentuk kerjasama efektif dengan parti-parti komponen GRS bagi memastikan gerak kerja awal.
Ditanya mengenai isu yang dicipta pihak pembangkang termasuk menggunakan individu yang memuat naik vedio rasuah bermotifkan politik, Masiung berkata ia adalah normal menjelang PRN.
“Pemimpin pembangkang yang sebelum ini pernah menerajui kerajaan lebih banyak waktu mencipta bermacam-macam isu dan tomahan.
Sedangkan kita dalam kerajaan lebih banyak menumpuhkan usaha untuk pembangunan rakyat.
“Kita kini sedang dalam usaha memperbaiki kecacatan yang gagal mereka laksanakan semasa menjadi kerajaan dahulu,” tambahnya.
Katanya, apabila mereka ditolak rakyat dan tidak lagi berkuasa, mereka mencipta pelbagi cerita yang kurang tepat terhadap kerajaandengan harapan rakyat akan percaya.