TAWAU: Seorang lelaki ditahan dalam satu insiden yang tular di media sosial menunjukkan beberapa batu nisan di sebuah tanah perkuburan di kawasan Kampung Sungai Imam Bombalai Laut, Tawau telah dicabut oleh individu yang tidak dikenali, pagi tadi.
Kejadian yang mencetuskan kemarahan penduduk setempat itu turut mendapat perhatian pihak Polis.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, susulan laporan yang dibuat oleh penduduk kampung, sepasukan polis dari Balai Polis Bombalai yang diketuai oleh Ketua Polis Balai Bombalai bertindak pantas dan berjaya menahan seorang suspek warga tempatan berusia 35 tahun kira-kira jam 2.00 petang di sebuah rumah tidak jauh dari kawasan kejadian tersebut.
“Pihak polis tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan yang boleh mencetuskan keresahan awam. Kami sedang menyiasat motif kejadian ini dan akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang terlibat,” katanya.
Ujarnya, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut dan kes di siasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat yang menyebabkan kerosakan harta benda.
Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan pihak Polis.