Site icon TUHAU BAMBANGAN

3 lelaki tempatan positif dadah ditahan, terlibat kes curi kabel Telekom di Penampang

PENAMPANG: Tiga lelaki tempatan positif dadah ditahan polis pada Khamis, disyaki terlibat dalam kes curi kabel Telekom di Penampang baru-baru ini.

Polis Penampang dalam satu kenyataan berkata, tangkapan tersebut dibuat oleh pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang bersama kakitangan Telekom Malaysia (TM).

Katanya kesemua suspek warga tempatan berusia 23 hingga 30 tahun.

“Dalam serbuan yang dilakukan pada pagi Khamis, pihak polis turut merampas beberapa barangan termasuk kabel Telekom dan pemotong besi yang dipercayai digunakan dalam aktiviti jenayah tersebut.

“Hasil saringan awal ujian air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine,” katanya di sini, hari ini.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan – Hukuman penjara tidak melebihi dua (2) tahun, denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 – Hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua (2) tahun jika disabitkan kesalahan.

Pihak polis menyeru kepada masyarakat yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah atau penyalahgunaan dadah agar segera melaporkannya ke balai polis berhampiran bagi membantu usaha mengekalkan keselamatan dan ketenteraman awam.

Exit mobile version