Site icon TUHAU BAMBANGAN

UMNO Sabah terus menyokong GRS (mandat rakyat Sabah)

KOTA KINABALU: Pendirian UMNO Sabah yang sebelum ini dinyatakan jelas menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor mendapat perhatian dan penghargaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman.

Beliau menjelaskan bahawa, pendirian UMNO Sabah itu menunjukkan parti yang menepati janji serta menghargai mandat yang diamanahkan oleh rakyat Sabah kepada kerajaan GRS, meskipun berlaku pergolakan politik di peringkat Persekutuan.

“Saya merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Mokhtar yang telah menyatakan pendirian UMNO Sabah untuk terus menyokong Kerajaan GRS pimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.


“Pendirian UMNO Sabah terhadap Kerajaan Negeri amat penting meskipun berlaku pergolakan politik di peringkat Persekutuan, demi menepati janji serta menghargai mandat yang diamanahkan oleh rakyat Sabah kepada Kerajaan GRS.


“Ini adalah satu tanda bahawa kerajaan GRS cukup memahami dan mengambil berat dalam memperjuangkan nasib dan kebajikan rakyat Sabah tatkala kita masih lagi dilanda pandemik COVID-19, ” jelasnya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Annuar turut menyokong saranan daripada ADUN Usukan, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak untuk terus memperkasakan GRS sekaligus menunjukkan kematangan dalam berpolitik.

“Saya juga amat bersetuju dan menyokong sepenuhnya saranan dan seruan daripada Datuk Seri Panglima Salleh Said Keruak agar GRS ini dapat diperkasakan menjadi entiti rasmi Sabah sama seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Sarawak, lengkap dengan lambang GRS sendiri.


“Pemerkasaan GRS sebagai satu entiti juga dilihat mampu memberikan kerajaan negeri Sabah suara yang lebih lantang atau ‘bargaining power’ dalam memperjuangkan hak-hak negeri Sabah sepertimana yang telah termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963.


“Kita sedar pemerkasaan GRS ini memerlukan satu ‘political will’ yang kuat dan jitu daripada semua parti di dalam GRS dan inilah masa yang sesuai untuk kita memulakan langkah pertama kita.


“Sokongan padu dan tidak berbelah bagi yang berterusan kepada kerajaan GRS ini juga membuktikan kematangan politik serta kewarasan pemikiran dikalangan pemimpin gabungan yang mendahulukan kepentingan rakyat berbanding hal-hal lain dikala kita berhadapan dengan waktu sukar seperti sekarang, ” katanya.

Sumber: UB

Exit mobile version