SEMPORNA: Seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat ditemui di atas rumput di tepi jalan Kampung Keramat, dipercayai dibuang, pada Jumaat.
Bayi seberat 3.1 kilogram itu ditemui berbalut kain oleh orang awam sebelum melaporkannya kepada pihak polis.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Sabri Zainol dalam satu kenyataan berkata, bayi berkenaan kini dirawat di Hospital Semporna.
“Doktor turut mengesahkan tiada kecederaan dialami bayi itu dan bayi kini dalam pemantauan.
“kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam,
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penemuan bayi boleh menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasar Inspektor Mohammad Hafizudin Akram Ghafar Ismail di talian 013-7557293 atau hotline IPD Semporna 089-782020.

