Site icon TUHAU BAMBANGAN

Membakut diisytihar bencana banjir, satu PPS diaktifkan

MEMBAKUT: Daerah ini telah diisyitiharkan sebagai kawasan bencana banjir susulan kejadian hujan berterusan sejak Jumaat.

Bencana banjir itu diisytiharkan oleh Pegawai Daerah Membakut merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Membakut, Ibrahim Terki pada jam 7 pagi hari ini.

Ekoran itu, satu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah diaktifkan bagi menempatkan mangsa-mangsa banjir di daerah ini, iaitu PPS Dewan Kesenian Islam Membakut.

“Selaras dengan pandangan dan cadangan daripada Jawatankuasa Bencana Daerah Membakut, adalah dengan ini saya selaku Pengerusi JPBD Membakut mengisytiharkan bahawa satu PPS dibuka bermula jam 7 pagi hari ini.

“PPS ini diaktifkan setelah pemeriksaan kawasan dan rumah Penduduk Terjejas Bencana (PTB) tidak selamat untuk didiami,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, Jabatan Metreologi Malaysia (MET Malaysia) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa hujan berterusan tahap waspada dijangka akan terus berlaku di kawasan pedalaman Sabah termasuk Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan.

Manakala hujan sama turut dijangka berlaku di kawasan Pantai Barat Sabah termasuk Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu dan Tuaran serta Wilayah Persekutuan Labuan.

Exit mobile version