BEAUFORT: Seramai 374 mangsa terjejas banjir setakat jam 4 pagi hari ini susulan hujan berterusan di daerah ini sejak kelmarin.
Sekreteriat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah berkata, kesemua mangsa banjir itu melibatkan 106 jumlah Ketua Isi Rumah (KIR).
“Kesemua mangsa banjir itu telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) PPK Selagon yang diaktifkan bermula jam 10 malam.
“Trend jumlah mangsa banjir turut menunjukkan data peningkatan sejak semalam,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Jabatan Metreologi Malaysia (MET Malaysia) dalam satu kenyataan semalam memaklumkan bahawa hujan berterusan tahap waspada dijangka akan terus berlaku di kawasan pedalaman Sabah termasuk Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan.
Manakala hujan sama turut dijangka berlaku di kawasan Pantai Barat Sabah termasuk Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu dan Tuaran serta Wilayah Persekutuan Labuan.