KOTA KINABALU: Seorang wanita telah dikejarkan ke hospital kerana alami cedera parah selepas dihempap runtuhan simen bangunan dalam kejadian runtuhan lantai tingkat satu sebuah bangunan di Jalan Segama, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, TPgB I Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 8 malam, semalam.
Susulan panggilan kecemasan itu katanya, seramai 13 anggota bomba dari BBP Kota Kinabalu diketuai Komander Operasi PBK II Masri Gari bersama enam anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tiga anggota pasukan perubatan telah dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 2 kilometer.
“Lapor berlaku runtuhan lantai tingkat satu dalam bangunan melibatkan Restoran Heweju Xi’an Recepi Sdn Bhd dan terdapat seorang mangsa wanita berusia 55 tahun mengalami cedera patah akibat dihempap runtuhan simen.
“Mangsa telah dikeluarkan dan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth 1 oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.
Pasukan bomba seterusnya bertindak menjalankan pemeriksaan dan mengarahkan orang awam untuk mengosongkan bangunan.
Setelah memastikan tiada bahaya lain di lokasi, operasi seterusnya ditamatkan pada jam 9.38 malam.