Site icon TUHAU BAMBANGAN

Ujian solat Jumaat pertama Ramadan, 5 kereta termasuk Alphard terbakar di Bulatan Masjid Bandaraya, Likas

KOTA KINABALU: Sebuah kenderaan jenis Toyota Alphard dilaporkan terbakar di tepi jalan berhampiran Bulatan Masjid Bandaraya Likas, menghala ke pusat bandar Kota Kinabalu, pada hari ini lebih kurang jam 1.13 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata, Pusat Kawalan Daerah (DCC) IPD KK menerima maklumat mengenai kejadian tersebut melalui panggilan kecemasan MERS 999 yang dibuat oleh seorang individu tidak dikenali.

“Bertindak atas maklumat, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah digerakkan ke lokasi dan tiba pada jam 1.20 petang dengan sebuah jentera bomba dengan kekuatan satu pegawai dan lima anggota telah tiba di lokasi kejadian dan berjaya memadamkan kebakaran.

“Bagaimanapun, kenderaan Toyota Alphard tersebut musnah sepenuhnya dalam insiden berkenaan. Pemilik kenderaan turut memaklumkan bahawa beberapa dokumen peribadi seperti MyKad dan kad ATM yang disimpan di dalam kenderaan itu turut musnah dalam kebakaran.

“Kejadian ini juga menyebabkan tiga lagi kenderaan yang diletakkan berhampiran turut mengalami kebakaran, iaitu Proton Iriz, Proton Iswara Aeroback dan Proton Saga BLM,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Pihak bomba masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran. Maklumat awal yang diperoleh setakat ini tidak menunjukkan sebarang unsur khianat. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian ini.

Orang ramai dinasihat agar sentiasa memastikan kenderaan dalam keadaan baik dan tidak meninggalkan sebarang bahan mudah terbakar di dalam kenderaan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

Exit mobile version