Site icon TUHAU BAMBANGAN

Keluarga hanya jumpa selipar, budak lelaki 6 tahun dikhuatiri hilang di sungai Kg Baginda, Keningau

KENINGAU: Penemuan selipar kanak-kanak lelaki berusia 6 tahun di tepi sungai menjadi kekhuatiran satu keluarga dan mendakwa kanak-kanak tersebut hilang di sungai dalam kejadian di Kampung Baginda, Keningau pada kira-kira tengah hari kelmarin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, PKPgB Sharudy Delamin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 3.18 petang kelmarin.

Katanya, susulan itu seramai 11 anggota bomba dari BBP Keningau diketuai Komander Operasi, PBK II Raizain Ag Damit bersama agensi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 9 kilometer.

“Menurut pengadu, jarak antara rumah mangsa dengan sungai adalah 50 meter dan mangsa disedari hilang pada jam 12.15 tengah hari, 6 Mac 2025.

“Keluarga mangsa telah menemui selipar mangsa di tepi sungai, berdekatan dengan batu.

“Pasukan bomba melakukan pencarian disekitar kawasan terakhir mangsa dilaporkan hilang dan ditebing sungai sejauh 100 meter bersama orang kampung,PDRM dan APM namun tidak berjaya menemui mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Operasi kemudian ditangguhkan pada jam 6.20 petang dan akan disambung semula pada hari ini.

Maklumat terkini akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

Exit mobile version