Site icon TUHAU BAMBANGAN

PRN Sabah: Belum masa untuk jadi ‘hero’ & berjuang sendiri, terima hakikat perlu cari rakan dengan ideologi politik sama – Joachim

KOTA KINABALU: “Senario politik sekarang amat berbeza dengan politik masa lampau. Sekarang belum masa untuk menjadi ‘hero’ dan berjuang bersendirian. Kita harus menerima hakikat bahawa kita tidak boleh menang bersendirian, dan perlu mencari rakan yang mempunyai ideologi politik yang serupa.

“Saya percaya kita sudah menemui rakan tersebut dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” demikian kata-kata dari Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam yang menegaskan bahawa landskap politik masa kini sangat berbeza berbanding dahulu dan menuntut pendekatan lebih strategik untuk memastikan kestabilan dan kemajuan negeri.

Dr. Joachim berkata, pembentukan GRS bertujuan untuk menstabilkan politik negeri Sabah supaya tumpuan dapat diberikan kepada usaha memperkasa pembangunan ekonomi dan infrastruktur negeri.

Dalam konteks ini, katanya, PBS selesa bekerjasama dengan parti-parti di bawah GRS dan tidak teragak-agak untuk menjadi sebahagian daripada keluarga besar gabungan ini.

“Kita perlu kekal komited dan terus memperjuangkan misi dan visi GRS. Gabungan ini bukan untuk kepentingan peribadi atau politik semata-mata, tetapi demi memastikan masa depan yang lebih cerah bagi seluruh rakyat Sabah. Kita memilih untuk berada dalam GRS kerana ia membawa harapan dan peluang untuk kemajuan yang nyata,” katanya lagi ketika berucap pada sambutan Ulang Tahun ke-40 PBS di Hakka Hall, Tanjung Lipat, di sini, pada Rabu lalu.

Dr. Joachim turut menegaskan bahawa GRS adalah parti tempatan yang lebih memahami kehendak dan aspirasi rakyat Sabah.

“PBS akan kekal dalam Kerajaan GRS walaupun terdapat usaha dari luar yang cuba memecahbelahkan gabungan ini.

“Terdapat anasir-anasir luar yang cuba menggugat perpaduan kita, tetapi kita tetap bersatu di bawah satu naungan Kerajaan yang dipanggil GRS,” katanya.

Beliau juga mengingatkan bahawa tahun lalu, pada April 2024, PBS telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Parti Solidariti Tanah Airku (STARSABAH). MoU ini, katanya, bertujuan untuk memperkukuhkan lagi kekuatan Kerajaan dalam GRS.

“Memorandum ini bukan ancaman kepada rakan-rakan lain dalam GRS, malah memperkukuhkan kedudukan gabungan ini, terutama sekali dalam menghadapi Pilihan Raya akan datang,” jelasnya.

Katanya, dengan pendirian yang jelas dan kesatuan dalam GRS, PBS yakin bahawa Sabah akan terus berkembang maju dan rakyat akan menikmati kestabilan serta kemakmuran yang berterusan.

Exit mobile version