PAITAN: Seorang lelaki berusia 30 tahun dilaporkan hilang ketika keluar bersendirian untuk memancing di sungai berhampiran Kampung Timbulus sejak dua hari lalu (5 Mac).
Bilik Kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran telah menerima panggilan kecemasan pada jam 9.25 pagi kelmarin (6 Mac) daripada OCS Paitan yang melaporkan kejadian orang hilang di lokasi tersebut.
Ketua BBP Beluran, PPgB Edoen Macheal berkata, susulan panggilan itu, tiga anggota bomba dari BBP Beluran diketuai Komander Operasi, PBK II Mohd Ridzuan Md Salleh bersama agensi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 120 kilometer dan tiba pada jam 11.56 pagi.
“Menurut OCS Paitan, pada 5 Mac lalu, sekitar jam 8 pagi, mangsa telah keluar dari rumahnya di Kampung Timbulus Sugud secara bersendirian untuk menjalankan aktiviti memancing dan mangsa belum kembali ke rumah sehingga kini.
“Pasukan bomba sedang dalam perjalanan ke lokasi untuk mendapatkan maklumat lanjut dan seterusnya melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Operasi SAR dijalankan oleh pasukan bomba bersama agensi penyelamat lain, dengan menggunakan dua bot dari APM dan pencarian dimulakan di kawasan berhampiran tempat mangsa dilaporkan hilang, dengan radius pencarian sejauh 7 kilometer sepanjang alur sungai,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Namun begitu katanya, mangsa masih belum ditemui dan operasi ditangguhkan pada jam 6 petang kelamrin.
Operasi SAR akan disambung semula pada hari ini.
Maklumat terkini akan dikemas kini dari semasa ke semasa.