KUCHING, SARAWAK: Sarawak menyediakan BAS.MY sebagai perkhidmatan pengangkutan percuma khas kepada golongan orang kurang upaya (OKU), warga emas dan pelajar yang beroperasi secara berfasa bermula sejak Rabu (5 Mac).
Pengumuman itu dibuat oleh Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak dan ini menandakan satu langkah besar dalam usaha menambah baik sistem pengangkutan awam di Greater Kuching.
Fasa pertama pelancaran BAS.MY Kuching akan melibatkan laluan Q10, yang menghubungkan Open Air Market ke Serian. Laluan ini akan menggunakan 6 buah bas baharu yang mesra OKU, dengan perjalanan sehala sejauh 67km dan merangkumi 48 hentian bas.
Perkhidmatan ini adalah sebahagian daripada Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti (SBST) yang dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan, bertujuan untuk memberikan sistem pengangkutan awam yang lebih baik dan efisien kepada penduduk sekitar Kuching.
BAS.MY Kuching akan diperkenalkan secara berperingkat sehingga April 2025. Apabila siap sepenuhnya, sebanyak 56 buah bas baharu akan beroperasi dalam 10 laluan utama.
Bagi kemudahan pengguna, sistem pembayaran BAS.MY Kuching menyokong pelbagai kaedah pembayaran termasuk kad debit, kad kredit, e-wallet, dan tunai.
Penduduk Malaysia juga boleh menikmati pelan langganan Kad 30 Hari BAS.MY dengan harga RM50 sahaja, membolehkan perjalanan tanpa had selama 30 hari.
BAS.MY Kuching turut menyediakan tambang percuma untuk golongan OKU, warga emas (60 tahun ke atas), pelajar sekolah, dan mahasiswa. Mereka hanya perlu memohon Kad Konsesi BAS.MY daripada pihak pengendali untuk menikmati manfaat ini.
Pelaksanaan BAS.MY Kuching ini adalah hasil usaha Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dan LPKP Sarawak, yang komited dalam menyediakan sistem pengangkutan awam yang lebih selesa, efisien, dan mudah diakses bagi penduduk Greater Kuching.
Dengan inisiatif ini, diharapkan lebih ramai warga Kuching akan beralih kepada pengangkutan awam yang lebih mesra pengguna dan menjimatkan kos.
Sumber: iloveborneo