KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) bertekad untuk mempertahankan tujuh kerusi yang dimenangi sebelum ini selain bersedia untuk memperluaskan pengaruh dengan meraih lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam menegaskan bahawa PRN17 yang dijangka diadakan pada bila-bila masa tahun ini adalah satu fasa penting bagi memastikan Sabah terus berada di landasan politik yang stabil dan kukuh.
“Persiapan menghadapi PRN ke-17 merupakan satu fasa penting dalam memastikan Sabah terus berada di landasan politik yang stabil dan kukuh.
“PBS, dengan kekuatan dan pengalaman yang dimiliki, tekad untuk mempertahankan tujuh kerusi yang telah dimenangi sebelum ini dan juga bersedia untuk memperluaskan pengaruhnya dengan meraih lebih banyak kerusi dalam PRN akan datang.
“Sebagai parti yang mewakili semua etnik, PBS yakin bahawa kekuatan kepelbagaian ini akan menjadi asas kepada kemenangan yang lebih besar,” katanya ketika berucap pada sambutan ulang tahun ke-40 PBS di Hakka Hall, Tanjung Lipat, di sini, semalam.
Dr. Joachim turut menekankan bahawa perundingan lebih teliti dan saksama akan diadakan, khususnya dalam soal pembahagian kerusi antara komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Perancangan yang rapi ini akan memastikan tiada pertindihan atau perpecahan undi yang boleh memberi kelebihan kepada parti lawan. Lebih penting lagi, GRS harus memperkukuhkan kedudukannya sebagai pejuang hak-hak rakyat Sabah, dengan bertanding sebanyak mungkin kerusi dan mengelakkan dominasi parti-parti luar yang mungkin tidak memahami aspirasi sebenar rakyat negeri ini,” katanya lagi.
Salah satu keutamaan dalam persiapan PRN ini adalah memastikan kerjasama antara parti-parti dalam GRS terus erat dan mantap, kata Dr. Joachim yang percaya bahawa kesepakatan dalaman amat penting bagi menghadapi cabaran luar.
“Kita dalam PBS percaya bahawa GRS dapat mengekalkan perpaduan dan mengelakkan sebarang konflik dalaman, dan seterusnya akan memenangi lebih banyak kerusi yang dipertandingkan. Ini bukan sahaja akan memastikan kestabilan politik, malah memberi peluang terbaik untuk memperbetulkan segala kelemahan yang telah melanda politik Sabah selama ini,” jelasnya.
Beliau menegaskan bahawa PBS sebagai salah satu tonggak utama GRS, akan terus berpegang teguh kepada prinsip memperjuangkan hak rakyat Sabah dan menjaga kepentingan negeri ini.
“PRN17 akan menjadi medan yang menentukan masa depan Sabah, dan dengan persiapan yang teliti serta strategi yang ampuh, kita berada di landasan yang betul untuk mengembalikan kestabilan dan kemajuan yang diimpikan oleh semua rakyat Sabah,” katanya.
Dengan persiapan rapi serta strategi politik yang kukuh, PBS yakin bahawa GRS akan terus mendapat sokongan rakyat dan mampu memacu Sabah ke arah masa depan yang lebih cerah.