Site icon TUHAU BAMBANGAN

Lelaki warga emas hilang, dipercayai terjun dari jambatan Binai di Tenom

TENOM: Seorang lelaki warga emas berbangsa Cina dilaporkan hilang selepas dipercayai terjun dari jambatan ke dalam sungai dalam kejadian di Jambatan Binai, Kampung Binai di sini pada Selasa lalu (4 Mac).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom, Mudi Pengiran berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 3.39 petang Selasa.

Katanya, seramai 11 anggota bomba dari BBP Tenom dan enam anggota dari unit khas PPDA dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 2 kilometer bagi membantu mencari mangsa dan tiba pada jam 3.45 petang.

“Lapor kejadian melibatkan seorang mangsa lelaki warga emas berbangsa Cina dilaporkan telah terjun dari jambatan ke dalam sungai.

“Pasukan Bomba seterusnya menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa secara ‘Water Surface’ menggunakan bot penyelamat, namun tidak berjaya menemui mangsa dan menangguhkan operasi pada jam 6.18 petang,” katanya menerusi satu kenyataan.

Manakala, SAR hari kedua, iaitu kelmarin telah dimulakan pada jam 8 pagi dengan kekuatan enam anggota BBP Tenom yang diketuai oleh PBK I Shahril Sulaiman dan enam anggota unit khas PPDA.

“Pencarian di mulakan dari jambatan Binai di mana mangsa dipercayai terjun seterusnya menyusur sungai Pegalan ke jambatan Tenom lama dengan jarak pencarian 3.9 kilometer.

“Bagaimanapun, mangsa belum berjaya ditemui dan operasi ditangguhkan pada jam 6 petang dan akan disambung semula pada hari esok (hari ini),” katanya, semalam.

Maklumat akan dikemaskini dari masa ke semasa.

Exit mobile version