KOTA KINABALU: Polis Sabah merampas dadah jenis syabu seberat 63.55 kilogram dengan anggaran nilai lebih kurang RM3 juta mengikut nilai pasaran tempatan menerusi penahanan sebuah kenderaan pacuan empat roda di daerah ini pada 27 Februari lalu.
Ketua Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, tangkapan tersebut dibuat oleh pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Sabah.
“Pasukan ini telah menahan sebuah kenderaan jenis toyota land cruiser warna emas di tempat letak kereta sebuah bangunan perniagaan (Pasar Raya) di daerah Penampang yang dinaiki oleh dua orang lelaki warga tempatan berumur 30 dan 33 tahun kerana disyaki terlibat kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah.
“Hasil pemeriksaan lanjut pasukan serbuan terhadap kenderaan yang dinaiki suspek telah menjumpai dan merampas empat buah kotak besar berisi bungkusan dadah disyaki jenis Methamphetamine (syabu) dengan berat kasar keseluruhan 63.55 Kilogram bernilai lebih kurang RM3 juta mengikut nilai pasaran Sabah yang diletakkan di bahagian belakang dalam kenderaan tersebut.
“Semua tangkapan dan rampasan disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh membawa kepada hukuman mati atau pemenjaraan seumur hidup.
“Suspek telah ditahan dan direman di bawah Seksyen 117 KPJ sehingga 7 Mac ini,” katanya dalam satu sidang media di IPK Sabah pada Rabu.
Katanya, saringan awal air kencing terhadap dua tangkapan ini dapati negatif dan semakan rekod lampau mendapati kedua-dua tangkapan tidak memiliki rekod jenayah.
“Menurut siasatan awal mendapati dadah yang dibawa ini adalah untuk pasaran luar negara (Filipina) melalui daerah Sandakan, manakala dadah yang dirampas ini mampu menampung lebih 300,000 penagih (sekali penggunaan).
“Pelbagai trend atau modus operandi dikenal pasti antaranya pengedaran melalui jalan udara, jalan laut, perkhidmatan kurier dan kargo telah digunakan oleh sindiket dadah untuk mengaburi aktiviti mereka dari dikesan. Ini sedikit sebanyak mencabar kewibawaan PDRM dalam membanteras aktiviti dadah.
“Namun dengan keupayaan menjalankan risikan dan juga tindakan yang proaktif, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mengesan apa juga cara yang digunakan oleh sindiket dadah yang beroperasi di negeri ini,” katanya lagi.
Sementara itu, Jauteh berkata, nilai rampasan dan sitaan harta di bawah undang-undang perlucuthakan harta setakat 4 Mac 2025 melalui kes ini adalah sebanyak lebih RM 3.243 juta dan tindakan ini masih berjalan dan banyak lagi sitaan akan dibuat.
“Saya menyeru masyarakat agar bersama-sama dengan pihak polis untuk membanteras pengedaran dan penyalahgunaan dadah khususnya di negeri sabah dengan menyalurkan maklumat dan bukan hanya menunding jari kepada penguatkuasa”, ujarnya.
Pihak polis akan memastikan semua maklumat yang diberikan dipandang serius dan akan diambil tindakan sewajarnya. Pemberi maklumat akan dilindungi identiti dan kerahsiaannya di bawah peruntukan undang-undang sedia ada.
Pesuruhjaya Polis Sabah mengucapkan ribuan terima kasih kepada masyarakat umum dan media yang selama ini banyak memberikan pelbagai maklumat kepada pihak polis ke arah membanteras jenayah dan gejala penyalahgunaan dadah khususnya di negeri Sabah.