Site icon TUHAU BAMBANGAN

Pemandu lari lepas langgar penunggang motosikal hingga maut di Jalan Gayang

TUARAN: Seorang pemandu kenderaan dilaporkan telah melarikan diri selepas melanggar seorang penunggang motosikal hingga maut dalam kejadian kemalangan jalan raya di Jalan Gayang pada pagi Rabu (5 Mac).

Ketua Polis Daerah Tuaran, Supt Noraidin Ag Maidin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian kemalangan itu pada jam 6.30 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya berlaku kemalangan melibatkan sebuah motosikal jenis Benelli dipercayai telah dilanggar oleh sebuah kenderaan.

“Pemandu kenderaan tersebut telah melarikan diri dari lokasi kemalangan manakala penunggang motosikal yang cedera parah di bahagian kepala dan seluruh badan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 sejurus laporan polis diterima dan setakat ini beberapa orang individu telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan yang dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, petang kelmarin.

Tambah beliau, pihak polis kini sedang giat mengesan pemandu yang telah melarikan diri dari lokasi kemalangan tersebut.

‘Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan ini boleh menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Trafik IPD Tuaran, Insp. Haffiz di talian 011-61600964 atau mana-mana Balai Polis berhampiran bagi membantu siasatan.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan berhemah ketika di jalanraya,” tegasnya.

Exit mobile version