Site icon TUHAU BAMBANGAN

Presiden masuk penjara, bukan pengakhiran bagi parti KDM – Wetrom

KOTA KINABALU: Pemenjaraan Presiden Parti Kesejahteraan Demoktratik Masyarakat (KDM), Datuk Peter Anthony bukanlah pengakhiran bagi parti itu, kata timbalan presidennya, Datuk Wetrom Bahanda.

“Seperti yang kita sedia maklum, Mahkamah Rayuan telah menolak rayuan beliau (Peter), terhadap sabitan kesalahannya dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen sebelum ini. Justeru itu, hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 dikekalkan.

“Tidak dinafikan penyokong dan pemimpin KDM kecewa dengan keputusan ini, namun ini tidak bermakna perjuangan parti akan berakhir.

“Sebaliknya, kami berazam untuk meneruskan dengan keazaman yang lebih besar dalam memperjuangkan kesejahteraan masyarakat dan masa depan Sabah,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau itu dalam satu kenyataan, semalam.

Wetrom yang juga ahli parlimen Kota Marudu berkata parti itu tidak akan berundur.

“Perjuangan kita akan diteruskan, dan segala perancangan presiden dan pucuk pimpinan parti akan diteruskan termasuk perjuangan kita pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) akan datang.

“Saya juga menyeru semua penyokong kita di seluruh negeri untuk meneruskan sokongan tidak berbelah bahagi kepada KDM, di samping pucuk pimpinan dan semua pemimpin parti di setiap peringkat, saya akan berdiri dan berjuang bersama anda semua.

“Kami telah mengharungi pelbagai cabaran, termasuk apa yang berlaku hari ini. Kami akan terus mengharungi apa jua rintangan dan cabaran yang mendatang demi negeri tercinta.” katanya lagi.

Wetrom pada masa sama turut memaklumkan bahawa mesyuarat Pimpinan Tertinggi KDM akan diadakan tidak lama lagi bagi membincangkan hala tuju parti seterusnya.

Semalam, Mahkamah Rayuan menolak rayuan terakhir bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah itu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman dalam kes yang dikaitkan dengan kontrak penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) 11 tahun lalu.

Selain dipenjara dan denda, Peter turut kehilangan kerusi DUN Melalap yang disandangnya ketika ini dan hilang kelayakan untuk bertanding pada PRN akan datang.

Sumber: NST

Exit mobile version