Site icon TUHAU BAMBANGAN

Ibu maut tertimbus & rumah musnah 100% dalam kejadian tanah runtuh di Kg Lok Bonu

KOTA KINABALU: Seorang wanita yang juga merupakan seorang ibu dilaporkan maut akibat tertimbus tanah dalam satu kejadian tanah runtuh yang turut memusnahkan sebuah rumah di Kampung Lok Bonu Jalan Sepanggar awal pagi tadi.

Mayat mangsa, 53 tahun berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 4.32 pagi.

“Susulan panggilan itu, seramai 10 anggota pasukan bomba dari BBP Kota Kinabalu telah dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 23 kilometer dan tiba pada jam 4.49 pagi.

“Lapor berlaku hakisan tanah runtuh dan menimbus sebuah rumah jenis tidak kekal berkeluasan 10×50 dan menyebabkan kerosakan 100 peratus.

“Terdapat dua orang mangsa terlibat, iaitu wanita yang tertimbus tanah runtuh dan dilaporkan maut serta seorang lelaki berusia 25 tahun dan merupakan anak mangsa maut. Bagaimana pun, lelaki tersebut selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Setelah memastikan tiada bahaya lain yang wujud operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7 pagi.

Exit mobile version