Site icon TUHAU BAMBANGAN

Elak dikesan sebagai warga asing, lelaki guna MyKad orang lain yang dilapor hilang di KK

TAWAU: Seorang lelaki warga asing menggunakan MyKad orang lain yang dilaporkan hilang di Kota Kinabalu untuk bersembunyi dan mengelakkan diri daripada dikesan sebagai warga asing di daerah ini telah ditahan oleh pihak polis.

Suspek ditahan selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan di sekitar kawasan Batu 5, Jalan Apas, Tawau, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, sepasukan anggota Polis dari Strike Team, Balai Polis Tawau ketika menjalankan rondaan cegah jenayah segera menghampiri lelaki tersebut kira-kira jam 2.45 petang.

“Ketika pemeriksaan dilakukan, suspek berumur lingkungan 20-an itu menyerahkan sekeping dokumen pengenalan diri (MyKad) yang bukan miliknya,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Katanya, hasil siasatan awal, lelaki tersebut mengaku bahawa MyKad yang diserahkan bukan miliknya dan dia hanya menggunakannya sebagai dokumen pengenalan diri bagi mengelak daripada dikesan sebagai warga asing.

Menurutnya, semakan melalui sistem Integraed Police Reporting System (IPRS) Polis Diraja Malaysia mendapati MyKad yang digunakan suspek telah dilaporkan hilang di daerah Kota Kinabalu, Sabah.

Tambahnya, suspek ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau untuk siasatan lanjut di bawah Peraturan 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tegas ACP Jasmin, Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang cuba menggunakan dokumen palsu atau milik orang lain untuk tujuan yang menyalahi undang-undang.

Exit mobile version