KOTA KINABALU: Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Peter Anthony hari ini dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan didenda RM50,000 berkait kes memalsukan dokumen.
Selain itu, Peter yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.42 Melalap itu akan kehilangan kerusi yang disandangnya ketika ini.
Memetik laporan MKini, Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan terakhir bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah itu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman dalam kes yang dikaitkan dengan kontrak penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) 11 tahun lalu.
Panel tiga hakim dipengerusikan oleh hakim Ahmad Zaidi Ibrahim dan dianggotai hakim Zaini Mazlab dan Azmi Ariffin dilaporkan sebulat suara mengekalkan keputusan bersalah serta hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000.
Di bawah undang-undang juga Peter kini sudah tidak layak lagi bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang yang dijangka hujung tahun ini.